Mengenai Kami
ASM merupakan Badan Berkanun Persekutuan bawah seliaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang ditubuhkan melalui Akta Akademi Sains Malaysia 1994 (Akta 524) pada 1 Februari 1995.
Oleh itu, ASM berperanan sebagai wadah pertukaran ilmu yang menghubungkan ahli akademik, pembuat dasar, industri dan masyarakat sivil. ASM turut menerajui kajian daya jangka, program strategik serta inisiatif berasaskan sains di peringkat kebangsaan, serantau dan global.
Berteraskan etos "Budayakan Sains, Raikan Teknologi, Cetuskan Inovasi", ASM memberikan penyelesaian berteraskan sains demi kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.
Presiden ASM turut berperanan sebagai Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara. Peranan ini mencerminkan tanggungjawab ASM dalam menyediakan pandangan dan nasihat yang bebas serta berasaskan bukti bagi perkara yang berkepentingan nasional.
14 fungsi ASM adalah seperti berikut:
- Menggalakkan dan memupuk pembangunan sains, kejuruteraan dan teknologi.
- Menyediakan forum bagi pertukaran idea dalam kalangan saintis, jurutera dan ahli teknologi.
- Menggalakkan kesedaran, kefahaman dan penghargaan masyarakat terhadap peranan sains, kejuruteraan dan teknologi dalam kemajuan manusia.
- Menggalakkan kreativiti dalam kalangan saintis, jurutera dan ahli teknologi.
- Menggalakkan keupayaan dan kebergantungan negara kepada kepakaran sendiri dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.
- Bertindak sebagai forum untuk memastikan Kerajaan sentiasa peka terhadap kepentingan sains, kejuruteraan dan teknologi dalam pembangunan negara serta membawa keperluan pembangunan negara kepada perhatian komuniti saintifik.
- Menganalisis isu-isu nasional dan mengenal pasti bagaimana sains, kejuruteraan dan teknologi dapat menyumbang kepada penyelesaiannya, seterusnya mengemukakan syor kepada Kerajaan.
- Memantau perkembangan dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi serta mengenal pasti perkembangan yang relevan dengan keperluan negara untuk dimaklumkan kepada Kerajaan.
- Menyediakan laporan, kertas kerja atau dokumen berkaitan dasar sains, kejuruteraan dan teknologi negara serta mengemukakan syor kepada Kerajaan.
- Memulakan dan menaja kajian pelbagai disiplin bagi meningkatkan pemahaman terhadap implikasi sosial dan ekonomi sains, kejuruteraan dan teknologi.
- Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan, pendidikan serta latihan bagi membangunkan modal insan dalam bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.
- Menjalin dan mengekalkan hubungan dengan akademi atau badan luar negara yang mempunyai objektif yang sama atau hampir sama.
- Melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diminta oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.
- Melaksanakan apa-apa tindakan lain yang selaras dengan Akta Akademi Sains Malaysia 1994 bagi memajukan sains, kejuruteraan dan teknologi di Malaysia serta memelihara kebajikan dan kedudukan Akademi.
Visi
Peneraju Pemikir dan Penggerak Perubahan dalam Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) demi masyarakat yang progresif, harmoni, makmur dan mampan.
Misi
Memangkin impak transformatif melalui STIE demi kemajuan masyarakat dan komuniti global.

